Pengisytiharan Hari Batik Malaysia, pada 1 Disember 2021 melahirkan lebih ramai usahawan dan komuniti kraf batik yang kreatif serta inovatif.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Saraya Arbi, ia sekali gus melonjakkan permintaan terhadap produk batik. Seterusnya, dapat meningkatkan pendapatan usahawan, komuniti serta keseluruhan rantaian pengeluarannya. Usaha itu selari dengan hala tuju Kraftangan Malaysia iaitu, Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat.
Hebahan dan publisiti di media sosial, media massa serta melalui aktiviti jerayawara diadakan di bangunan kerajaan seperti Parlimen, bangunan kementerian, pusat beli-belah terpilih dan lokasi tumpuan pengunjung di seluruh negara turut dilihat berkesan.
Menurutnya lagi, “lebih membanggakan, apabila kempen ini juga berjaya memperoleh nilai jualan sebanyak RM180,000. Oleh itu, ia merupakan pencapaian membanggakan untuk usahawan dan pengusaha batik di seluruh negara.
Seterusnya, bersempena Hari Batik Malaysia pada kali ini, Kraftangan Malaysia turut melancarkan logo Batik Malaysia iaitu jenama produk batik yang dihasilkan oleh usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia.
Logo berkenaan adalah salah satu inisiatif Kraftangan Malaysia bagi menonjolkan keaslian produk batik Malaysia yang dihasilkan oleh usahawan tempatan.
Penganjuran program sebegini dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat membudayakan pemakaian produk kraf tekstil tempatan sebagai satu gaya hidup sihat.