Oleh Hassan Omar, Siti Haliza Yusop, Hazira Ahmad Zaidi dan Baharom Bakar
Mei 23, 2021 @ 5:23 pm [email protected]

KUALA LUMPUR: Peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara lega dapat meneruskan perniagaan bagi menanggung keluarga sepanjang pelaksanaan sekatan tambahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Meskipun risau dengan peningkatan kes COVID-19, mereka tidak mempunyai pilihan lain bagi memperoleh pendapatan harian untuk menyara keluarga.
Peniaga ayam goreng di Bandar Permaisuri, Cheras, Ann Hasnor, 37, berkata kebenaran meneruskan operasi perniagaan itu membolehkan peniaga kecil sepertinya meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana mendesak akibat penularan COVID-19.
“Saya dan suami menanti pengumuman mengenainya dengan penuh debar, semalam. Sebenarnya sudah lebih seminggu saya risau jika peniaga kecil seperti kami tidak dibenarkan berniaga seperti berlaku pada PKP pertama, Mac tahun lalu.
“Pada pelaksanaan PKP 1.0, hampir tiga bulan kami tidak berniaga sedangkan inilah satu-satunya sumber pendapatan saya dan suami untuk membesarkan anak-anak sejak lapan tahun lalu.
“Kami juga tidak lagi membeli barang basah dengan harga borong lagi kerana bimbang tiba-tiba disuruh menutup perniagaan, hangus pula modal digunakan. Kini kami beli barang basah dengan kuantiti sedikit jadi tidak dapat harga borong lagi dan kos berniaga juga menjadi semakin meningkat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang PKP 3.0 dihadkan kepada jam 8 pagi hingga 8 malam berbanding 6 pagi hingga 10 malam, sebelum ini.
Peraturan itu akan berkuatkuasa kuasa di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula Selasa ini.
Mohamed Sultan Luharden, 40, yang berhijrah ke ibu negara dari Pulau Pinang sejak 2013, mengambil kesempatan kebenaran yang diberikan oleh kerajaan dengan mengusahakan penjualan air kelapa segar, mulai hari ini.

Sebelum ini, Mohamed Sultan menjalankan perniagaan cendol dan rojak menggunakan motosikal di kawasan Ampang dan Cheras, tetapi membuat keputusan menjual air kelapa segar, memandangkan ia membabitkan kos lebih rendah.
“Semasa PKP 1.0, saya tidak boleh berniaga. Ada juga saya kongsi menu jualan di dalam kumpulan whatsapp kawasan perumahan tetapi ia tidak begitu mendapat sambutan berbanding saya berniaga di tepi jalan. Syukur penjaja seperti kami dibenarkan meneruskan perniagaan walaupun waktu perniagaan sudah dihadkan.
“Kami harap pembeli mematuhi SOP seperti digariskan kerajaan. Ada ketika apabila pembeli berdiri berdiri rapat semasa menunggu pesanan, saya ingatkan juga mereka mengenai penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya.
Pengumuman sekatan tambahan PKP 3.0 itu turut melegakan pekerja yang dibayar gaji harian termasuk Azri Mohd Ariffin, 39, yang bekerja di sebuah kedai menjual pisang goreng juga di Bandar Permaisuri, Cheras.
“Lega dan bersyukur apabila mengetahui majikannya boleh meneruskan operasi perniagaannya. Ketika PKP 1.0, majikan tidak membuka kedai kerana tidak dibenarkan beroperasi bermakna sepanjang waktu itu saya juga tidak bergaji. Saya tidak menyalahkan majikan kerana menutup perniagaan kerana ia arahan daripada kerajaan.
“Sepanjang tidak bekerja, saya tawarkan perkhidmatan sebagai pembeli barangan runcit untuk mereka yang memerlukan jadi dapatlah meneruskan kelangsungan hidup keluarga dan sehingga kini saya terus melakukan dua pekerjaan ini,” katanya.
Sementara itu, di Kota Bharu, peniaga kedai makan, Muhammad Huzaifi Ahmad Zaidi, 23, mengakui pendapatan hariannya sedikit merosot berbanding sebelum pelaksanaan PKP 1.0, yang tidak membenarkan kedai makan beroperasi.

“Kini kami tetap bersyukur kerana PKP 3.0 peniaga dibenarkan membuka kedai dan berniaga meskipun waktu operasi perniagaan dihadkan. Sebelum ini, saya mampu memperoleh pendapatan sehingga RM300 sehari, namun kini keadaan amat berbeza malah pelanggan juga semakin berkurangan.
“Bagaimanapun, tidak dinafikan, penularan pandemik ini sekali gus menyebabkan peniaga kecil yang bergantung pada pendapatan harian seperti saya sedikit sebanyak terjejas,” katanya.
Peniaga buah-buahan, Nasir Latif, 47, berkata, sekatan tambahan PKP 3.0 mengurangkan keresahannya dan isteri, Tengku Nurmaizun Raja Azmi, 33, kerana pendapatan bulanan yang diperoleh sebelum ini terjejas sehingga dua kali ganda.
“Jika dulu, hasil jualan dianggarkan mencecah RM700 setiap hari, namun sejak kebelakangan ini merosot tetapi kami lega kerana masih boleh berniaga bagi menyara keluarga,” katanya yang membuka gerai buah-buahan di sekitar bandar Kota Bharu pada jam 8.30 pagi hingga 7 malam.
Sementara itu, peniaga di Jalan Pengkalan Balak, Melaka, Jamaluddin Hamzah, 60, tetap bersyukur kerana masih dibenarkan beroperasi walaupun hanya jualan secara bungkus yang dibenarkan berbanding tidak dibenarkan berbuat demikian ketika PKP 1.0 dilaksanakan tahun lalu.
“Alhamdulillah masih boleh berniaga dan reda dengan jualan yang merosot hampir 60 peratus. Sebelum ini saya mula berniaga pada jam 7 pagi tetapi sekarang kena lewatkan sejam bagi mematuhi sekatan tambahan PKP 3.0,” katanya ketika ditemui.

Anaknya, Nur Syaqirah, 34, yang turut membantu berniaga pula berkata, kekurangan pelanggan memang sudah dijangkakan tetapi beliau yakin jualan air secara bungkus mampu bertahan kerana pelanggan tetap ingin menikmati minuman, terutama pada sebelah pagi.
“Pelanggan tetap memesan air terutama pada sebelah pagi walaupun sekadar bungkus dan bukannya minum di warung,” katanya.
Peniaga warung di pekan Lubok Cina, dekat sini, Kamaruzaman Md Ali, 46, berkata beliau akan mengurangkan jumlah bahan makanan jualannya bagi mengurangkan kos operasi.
“Jualan makanan dan minuman sarapan semalam dan hari ini mencatatkan penurunan ketara yang berpunca daripada kebanyakan pelanggan tidak keluar rumah. Ia adalah sebahagian daripada asam garam perniagaan yang terpaksa ditelannya dengan sabar dan berharap pandemik COVID-19 akan cepat berakhir.
Pengusaha kedai makan di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Muhammad Razif Ismail, 38, berkata pendapatan hariannya ketika PKP 3.0 tidak seteruk berbanding tahun lalu.
“Masa PKP 1.0 tahun lalu, saya terpaksa menghentikan sementara perniagaan bagi mengelak lebih banyak kerugian ditanggung termasuk gaji tukang masak dan pekerja. Walaupun menghadapi hilang punca pendapatan, tetapi kami reda dan terpaksa akur dengan sekatan tambahan PKP kali ini demi membantu kerajaan mengurangkan penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/819899/peniaga-penjaja-kecil-lega